Saturday, 25 May 2013

Memahami Sifat Kasih Sayang Dan Hikmahnya

1. PENDAHULUAN

Hidup manusia akan terbatas dan terkongkong apabila ada sekatan perasaan dan kejiwaan sesama manusia. Sebaliknya terbuka dan bebas (dalam peraturan dan undang-undang yang diperlukan) apabila ada kasih sayang dan saling mempercayai sesama insan. Lantaran itu, tajuk ini MEMAHAMI SIFAT KASIH SAYANG DAN HIKMAHNYA amat diperlukan untuk difahami dan dihadhami (dicernakan) oleh setiap warga bumi terutama mereka yang mengungkap persaksian “Asyhadu anlaa ilaaha illallaah, wa asyhadu annamuhammadar rasuulullaah.”
Terima kasih tidak terhingga kepada 3AIG yang mempelopori program Pengenalan Hibah, Yasin dan Kasih Sayang Sesama Insan dan dijadikan program wajib ahli dan pelanggan dalam kumpulannya.


2. SIFAT-SIFAT UTAMA YANG DIPERLUKAN

Setiap kelahiran manusia dibekali oleh Allah s.w.t perasaan yang pelbagai. Perasaan itu perlu dipupuk, diasuh dan dilazimi untuk menjadi akhlak atau perangai (1) yang membolehkan seseorang itu dikatakan bersifat dengan sifat-sifat tertentu. Antara sifat-sifat utama yang perlu dipupuk dan disuburkan ialah :
- Cinta atau al-Hubb :
Cinta dan kasih sayang akan tumbuh dalam diri hasil kepercayaan yang lahir melalui pancaindera yang lima (2) dan melalui ilmu tentang kebaikan menyeluruh atau sebahagian bagi sesuatu. Berlawanan dengan cinta dan kasih sayang ialah benci dan cuak yang merupakan perasaan tidak menerima terhadap sesuatu justeru tanggapan dan kepercayaan keburukan menyeluruh atau sebahagian bagi sesuatu. Mengenali dengan tepat akan sesuatu itu boleh menumbuhkan cinta yang sebenar atau benci yang sebenar. Manakala mengenali dengan silap (3) akan sesuatu pula boleh melahirkan cinta dan benci yang salah dan tersasar. Maksud cinta dan kasih sayang di sudut bahasa dan istilah akan dibicarakan kemudian nanti.
- Sabar atau bernafas panjang atau sanggup tahan senafas :
Sabar merupakan sifat utama yang dianjurkan Allah. Ia memberi maksud sanggup bertahan mengikut keperluan dan situasi. Sewaktu perang, orang yang ‘bersabar’ dikatakan berani. Semasa mampu membalas kejahatan orang tetapi ditahan gelora dendam disebut penyantun. Ketika hati ghairah ingin memiliki keindahan dunia dan tarikannya dan dia mampu memiliki, lalu dia ‘mengongkong’ diri daripada perhiasan dunia itu dan tidak terikat dengannya, maka ketika itu dikatakan zuhud. Sewaktu malas dan kelesuan, tetapi digagahi jua menunaikan kefardhuan dan nawafil (sunat) dikatakan mujahadatunnafsi (melawan nafsu keji). Dan seterusnya….. semua itu adalah SABAR!
- Benar atau menepati realiti :
Bersifat benar dengan maksud benar dengan Allah dalam memenuhi janji ‘inna solaati wanusuki wamahyaaya wamamaati lillah…’ , benar dengan diri dalam memenuhi kehendak ‘sunnatullah’ (4) pada diri sendiri sebagai makhluk yang dipertanggungjawabkan memakmur dan mengendalikan dunia yang dikenali sebagai manusia (5) dan benar dengan makhluk (6) lain, terutama sesama manusia.
- Ikhlas atau melakukan kerja kerana matlamat yang satu :
Ikhlas bermakna suci bersih. Ikhlas berbakti kerana Allah bermaksud bekerja hanya mencari keredhaan Allah meskipun manusia tidak menyetujuinya. Namun, semasa membuat penilaian tentang apa yang Allah redha dan apa yang manusia setuju itu memerlukan ILMU tentang wahyu Allah (Qur’an dan sunnah yang soheh) dan ILMU tentang latar hidup mannusia dan aliran pemikirannya. Dan syarat dasar dalam keikhlasan amal (7) ialah dua : pertama, berbuat kerana menuntut keredhaan Allah atau ‘kerana Allah’ dan kedua, bertindak menepati dengan peraturan syari’at Islam atau menurut sunnah.

3. BERAKHLAK DENGAN SIFAT TUHAN DALAM KEHIDUPAN

Bagaimana meniru sifat Tuhan ? Allah bersifat dengan sifat rahman iaitu pengasih kepada segala makhluk di dunia ini, maka seseorang manusia (apalagi seorang muslim/ muslimah) itu mestilah mengumpulkan sifat kasih sayang itu ke dalam dirinya sebanyak yang terdaya mengikut perintah Allah dalam menyayangi apa yang disayangi Allah dan membenci apa yang dibenci Allah. Bukankah iman dan amal itu berada dalam kitaran cinta dan benci ?(8) Begitu juga sifat-sifat Allah yang lain yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan manusia. Namun sifat Allah yang tertentu seperti ‘Mematikan’, ‘Maha Suci (Quddus)’, ‘Esa’ dan beberapa sifat lain tidak boleh ditiru oleh manusia lantaran kemutlakan sifat itu hanya untuk Allah.

4. PENGERTIAN KASIH SAYANG DISEGI BAHASA DAN ISTILAH

Kasih sayang dan cinta (dalam bahasa Arab disebut Mahabbah) di segi bahasa adalah berasal daripada bening dan bersih, atau luapan hati dan gejolaknya, atau tenang dan teguh, atau gundah dan tiada tetap, atau inti sesuatu, atau usungan bejana/ bekas, atau buah hati. Batasan maknanya juga berbeza pendapat di kalangan ahli bahasa. Ada yang menyatakan sebagai kecenderungan secara terus menerus dengan disertai hati yang meluap-luap. Ada pula yang menyebut sebagai kecenderungan secara total kepada orang yang dicintai, kemudian engkau rela mengorbankan diri, nyawa dan hartamu demi dirinya, kemudian engkau mengikutinya secara sembunyi atau terang-terangan. Istilah yang sinonim dengan kasih sayang dan cinta ini amat banyak sehingga menjangkau 50 istilah. Penjelasan detail hendaklah dirujuk kepada buku penting tentang tajuk ini yang bernama : Cinta Dan Rindu Menurut al-Qur’an Dan al-Sunnah (Asal : Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaaqiin) oleh al- ‘Allaamah al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah r.a.. (9)

4.1. Kasih-sayang sesama Islam (seaqidah)
Kata Imam Hasan al-Banna r.a. (1908-1949m) dalam Risalah Ta’alimnya : “Maksudku dengan ukhuwwah (kasih sayang dan persaudaraan) adalah: Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal. Persaudaraan sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah saudara kepada kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat `ithar’ (melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri). Firman Allah s.w.t. : “dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang Yang berjaya.” (surah Al-Hasyr ayat 9).
Akh yang benar dengan fikrahnya akan melihat saudaranya lebih utama untuk diberikan perhatian dari dirinya sendiri kerana kalaulah mereka tidak bersama dengannya pasti mereka akan bersama dengan selain darinya (orang lain). Sesungguhnya serigala akan membaham kambing yang kesesatan. Mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain. “Mukminin dan mukminat sebahagian mereka adalah pemimpin kepada sebahagian yang lain.” Inilah situasi yang perlu kita wujudkan.”
4.2. Kasih sayang sesama manusia
Kasih sayang sesama manusia meliputi segala-galanya dalam urusan hidup selain melibatkan unsur agama dan aqidah yang menjadi rukun agama yang dianuti oleh manusia tersebut. Justeru itu, kasih sayang ini membuka ruang untuk berintraksi dengan manusia yang tidak seagama secara terbuka dalam semua bidang selain yang melibatkan unsur agama manusia itu. Kemanusiaan ini amat menyeluruh, terutama bagi pihak kerajaan Islam dalam menangani semua pihak yang berada di bawah naungannya sehingga hak beragama penganut agama bukan Islam juga boleh dilayani selagi tidak berunsur menyebar dan menyuburkan agama tersebut. Kasih sayang ini meliputi bantuan keperluan hidup ; makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, dan keperluan asas yang lain, pergaulan (kecuali dalam hal-hal tertentu seperti perkahwinan), harta, tanah dan sebagainya.


5. BAHAGIAN KASIH SAYANG

5.1. Kasih sayang fitrah
Kasih sayang fitrah atau semula jadi atau sunnatullah yang dibekalkan oleh Allah ini seperti kasih sayang yang timbul apabila melihat anak kecil yang diseksa atau sakit. Semakin lemah seseorang manusia di sudut fizikal semakin dalam perasaan kasih sayang yang timbul dalam hati sanubari mereka yang berada sekitarnya. Justeru itu, kasih ibu dan ayah kepada anaknya tidak diperintahkan oleh Allah lantaran tabiat semula jadi yang wujud itu. Berbeza kasih sayang anak kepada dua ibu bapanya mestilah dipupuk dan dibajai, dan ianya diperintahkan oleh Allah, lantaran bimbang sewaktu tua ibu bapa (sewaktu lemah) tidak dipedulikan oleh anak-anak.
Termasuk kasih sayang fitrah ini ialah segala bentuk haiwan yang sentiasa menaungi anak-anaknya dan pasangannya. Bahkan adakalanya kasih sayang haiwan lebih hebat daripada kasih sayang sebahagian manusia yang tidak terdidik.
5.2. Kasih sayang Allah kepada hambaNya
a. Kasih sayang Allah kepada makhlukNya
Segala makhluk di alam maya ini berada di bawah kasih sayang Allah mengikut jenis dan klasifikasinya, walaupun makhluk itu (hanya jin dan manusia) kufur kepada Allah, lalu mereka boleh hidup dengan udara, air, tanah dan api yang disediakan oleh Allah. Dalam hal ini, mereka yang berikhtiar dan berusaha lebih akan mendapat habuan rezeki dan kekayaan mengikut kadar kerja yang disumbangkan. Bukankah ganjaran itu mengikut kadar kerja yang diusahakan ?
b. Kasih sayang Allah kepada hambaNya yang beriman
Kasih sayang Allah kepada makhlukNya yang beriman ada kelainannya, terutama di akhirat nanti. Semasa di dunia kasih sayang Allah ini berupa pertambahan taqarrub si hamba yang beriman kepada Allah. Persoalan rezeki dan kesenangan hidup bukan ukuran kasih sayang Allah kepada seorang mukmin.
5.3. Kasih sayang hamba kepada Tuhannya
Kasih sayang hamba kepada Tuhannya bergantung di atas kesedaran diri hamba/ manusia terhadap segala bentuk nikmat yang diperolehinya samada nikmat kewujudannya di dunia, atau nikmat panjang umur dan kesihatan dan nikmat kesenangan berupa harta, wang, kekayaan, pangkat dan sebagainya.
5.4. Kasih sayang hamba sesama hamba
Kasih sayang hamba sesama hamba berlegar pada 5 paksi berikut :
a. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan (satu hak sahaja) (lihat nombor 4.2 di atas)
b. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan dan kejiranan (dua hak sahaja). Selain kasih sayang 5.1 di atas, kejiranan menambah lagi hak manusia dalam mendapat prioriti kasih sayang.
c. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan, kejiranan dan kekeluargaan (tiga hak sahaja). Tambahan kepada kasih sayang 5.1 dan 5.2 di atas, kekerabatan akan meningkatkan prioriti dan keutamaan memberi kasih sayang ini. Namun di akhirat, kasih sayang kekerabatan akan terputus apabila berbeza aqidah dan prinsip taqwa. Lihat (Zukhruf/ 67) : “pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya Yang lain, kecuali orang-orang Yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”
d. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan, kejiranan, kekerabatan dan keagamaan/ aqidah. (empat hak) (lihat 4.1 di atas). Juga apa yang disabdakan oleh junjungan Rasulullah s.a.w. yang sering dibacakan kepada kita yang bermaksud : “Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia kasih kepada saudaranya (seagama) sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri.”
e. Kasih sayang sejati. Kasih sayang yang sebenar adalah kasih sayang berdasarkan aqidah. Manakala kasih sayang yang lain menyusul selepas kasih sayang aqidah ini mengikut kadar yang dibolehkan oleh aqidah samada dalam kekerabatan, atau kejiranan atau kemanusiaan.

6. KEUTAMAAN KASIH SAYANG DAN KELEBIHANNYA

6.1. Mendapat rahmat Allah
6.2. Mengurangkan kebencian dan permusuhan dalam selimut
6.3. Mengurangkan peperangan
6.4. Menarik sikap perdamaian antara manusia
6.5. Mengelak daripada tindakan ‘hukum balas’ dan dendam akibat kesalahan-kesalahan yang kecil, bahkan kesalahan yang besar seperti memaafkan pembunuhan yang tidak disengajakan.
6.6. Mendekatkan hati-hati yang berjauhan
6.7. Menyeronokkan aktiviti hidup manusia

7. BAGAIMANA MENGAPLIKASIKAN KASIH SAYANG DALAM KEHIDUPAN ?

7.1. Mengenali saudaranya secara mendalam ; nama, alamat, pekerjaan, status sosial, kewangan, kesihatan, psikologi dan sebagainya. “Jika seseorang menjalin tali persaudaraan dengan orang lain, maka hendaklah dia bertanya siapa namanya, nama bapanya dan dari mana dia berasal, kerana itu lebih mengeratkan kasih sayang.” Hadis riwayat Tarmizi. (10)
7.2. Menyatakan ‘saya sayangkan kamu’. Dalam sunan Abu Daud disebutkan bahawa seorang lelaki berada di samping Rasulullah s.a.w. Kemudian ada lelaki yang lewat di sana. Orang yang ada di samping beliau berkata : “Wahai Rasulullah, saya benar-benar mencintai orang itu.” Rasulullah s.a.w. bertanya : “Apakah engkau sudah memberitahukannya?” “Tidak.” Jawabnya. “Beritahukanlah cintamu itu padanya.” Sabda beliau. Maka orang itu menemui orang yang dimaksud, lalu berkata kepadanya : “Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah.” Orang yang dicintainya berkata : “Yang membuatmu mencintaiku juga mencintaimu.” (11)
7.3. Menyebarkan salam. Dalam soheh Muslim, disebutkan dari hadits Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud) : “Demi diriku yang ada di tanganNya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan kalian tidak beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah jika kutunjukkan kepada kalian jika kalian mengerjakannya, maka kalian saling mencintai ?Sebarkan salam di antara kalian.(12)
7.4. Berhadiahlah, kamu akan berkasih sayang. (Maksud Hadis).
7.5. Menutup keaiban saudaranya (Maksud hadis)
7.6. Melaksanakan aktiviti pemupukan kasih sayang seperti kebersamaan dalam : bermain, berbasikal, bersampan, melancung, ziarah, kenduri, gotong royong dsb. Ini berasaskan ayat 2 surah al-Maaidah :
bermaksud : “…..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
7.7. Memberi apa yang diperlukan dalam batas yang dibolehkan oleh syara’ ; Tenaga, Fikiran, Keprihatinan, Kasih sayang, Kewangan, Harta, Pangkat dsb.
7.8. Memberi (hibah) secara rambang atau terancang.
7.9. Menahan diri daripada segala bentuk ancaman, bahaya dan khianat terhadap orang lain samada dalam bentuk lidah, tangan dan hati nurani.
7.10. Mendo’akan kebaikan kepada mereka yang layak mendapatnya dan mendo’akan menolak bencana daripada mereka yang tidak sewajarnya ditimpa bencana mengikut perkiraan kita, bukan pada perkiaraan Allah.

8. TANDA-TANDA KASIH SAYANG DAN CINTA
Apabila usaha mewujud dan menyuburkan kasih sayang dan cinta sesama muslim dan sesama insan, maka akan mekarlah tanda-tanda kasih sayang dan cinta itu. Antara tanda-tanda itu (13) ialah :
8.1. Menghunjamkan pandangan mata.
8.2. Malu-malu jika orang yang dicintai memandangnya.
8.3. Banyak mengingat orang yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya.
8.4. Tunduk kepada perintah orang yang dicintai dan mendahulukannya daripada kepentingan diri sendiri.
8.5. Orang yang mencinta bersabar menghadapi gangguan orang yang dicintai.
8.6. Memperhatikan perkataan orang yang dicintai dan mendengarkannya.
8.7. Mencintai tempat dan rumah sang kekasih.
8.8. Segera menghampiri yang dicintai.
8.9. Mencintai apa pun yang dicintai sang kekasih.
8.10. Jalan yang dilalui terasa pendek sekali pun panjang saat mengunjungi orang yang dicintai.
8.11. Salah tingkah jika sedang mengunjungi orang yang dicintai atau sedang dikunjungi orang yang dicintai.
8.12. Kaget dan gementar tatkala berhadapan dengan orang yang dicintai atau tatkala mendengar namanya disebut.
8.13. Cemburu kepada orang yang dicintai.
8.14. Berkorban untuk mendapatkan keredhaan orang yang dicintai.
8.15. Menyenangi apa pun yang menyenangkan orang yang dicintai.
8.16. Suka menyendiri.

8.17. Tunduk dan patuh kepada orang yang dicintai.
8.18. Helaan nafas yang panjang dan lebih kerap.
8.19. Menghindari hal-hal yang merenggangkan hubungan dengan orang yang dicintai dan membuatnya marah.
8.20. Adanya kecocokan antara orang yang mencintai dan yang dicintai.

9. PENUTUP

Akhirnya, kasih sayang dan cinta yang diperlukan oleh seluruh manusia – disedari olehnya atau tidak – adalah kasih sayang kemanusiaan yang akan bercambah dan bertambah subur apabila amalan hibah, yasin dan kasih sayang yang dianjurkan ini dapat diaplikasikan dalam amalan umat Islam secara khusus dan masyarakat manusia secara umum. Tindakanlah yang menentukan kejayaan program dan cita-cita penganjur. Semoga semua peserta mampu menjadikan program ini rutin hidup yang mengagumkan manusia banyak dan yang lebih utama ialah meng’agum’kan Allah (diredhai Allah s.w.t.).
Sekian, 

No comments:

Post a Comment