Thursday, 2 August 2012

Jatuh Cinta Dengan Teman Baik


Alangkah beruntungnya jika mempunyai seorang sahabat baik yang sering berada di sisi anda. Anda berdua sering bertukar cerita, saling membantu, berkongsi masalah dan suka-duka kehidupan. Saling menyokong satu sama lain, sepertimana seorang sahabat sentiasa memberi sokongan kepada sahabat.
Tanpa anda sedari, anda sudah jatuh cinta dengan teman baik anda. Tidak salah untuk anda jatuh cinta kepada sahabat anda, sekiranya anda masing-masing masih solo. Bagaimanakah seterusnya?

Dilema: Persahabatan vs Percintaan
Kebanyakan individu yang jatuh cinta kepada sahabat baik mereka amat sukar untuk meluahkan perasaan. Ini kerana mereka berpendapat tali persahabatan yang sudah terbina sekian lama amat berharga dan mereka khuatir seandainya hasrat cinta mereka diluahkan, persahabatan itu akan terganggu. Malah jika tidak kena caranya, persabahatan terputus. Setiap perkara ada risiko, sama ada kecil atau besar. Sebelum pergi lebih jauh, selami hati anda terlebih dahulu dan putuskan apa yang anda mahu dalam hidup.

Strategi
Jangan sesekali bertindak terburu-buru. Jika dia hanya kenalan biasa, mungkin lebih mudah mengungkapkan cinta. Tetapi, bagi seorang sahabat baik, lebih sukar untuk mencurahkan isi hati anda. Si dia mungkin akan terkejut, bertindak defensif lalu menjauhkan diri. Jika anda sukakan dia, mulakan dengan memberi sedikit demi sedikit petanda agar dia boleh mencerna perubahan rasa hati anda dengan lebih terbuka dan rasional. Dalam pada itu, risik reaksinya. Lihat tindak balasnya, dari situ anda boleh menilai sama ada anda mempunyai peluang ataupun tidak. Pada masa yang sama, sentiasa ada untuknya pada saat dia memerlukan anda. Ingat, anda sahabat baiknya. Jangan dek kerana terlalu mengejar cinta, status dan tanggungjawab sebagai seorang sahabat diabaikan. Berdoalah kepada Tuhan agar dibukakan pintu hati si dia untuk anda.

Luahkan perasaan
Memandangkan anda merupakan sahabat baiknya, sedikit sebanyak anda tentu mengenali dan memahami dirinya. Jangan luahkan perasaan dengan cara yang dia tidak suka. Cari masa yang sesuai. Lakukan dengan penuh ikhlas dan berhikmah. Dia mungkin akan menerima atau menolak. Apapun keputusannya, terima dengan hati terbuka kerana anda sudah berterus-terang dan mendapat jawapan kepada setiap persoalan. Kalah setelah mencuba sedaya upaya lebih mulia daripada kalah sebelum pertarungan. Tidaklah anda menyesal di kemudian hari kerana tidak menyuarakan isi hati.
Cinta adalah anugerah dari Tuhan, dan merupakan fitrah seorang manusia. Seandainya si dia memang jodoh anda, bersyukurlah. Tetapi jika si dia mahu kekal menjadi seorang sahabat, terimalah dengan redha. Kami di Ayat-Ayat Cinta sentiasa mendoakan kebahagiaan para pembaca. :)

No comments:

Post a Comment